Jumaat, 23 Oktober 2009

DIALOG BELIA ISLAM DUNIA MELAYU

Dialog Belia Islam Dunia Melayu (DBIDM) akan diadakan di Brunei Darussalam pada 9 - 10 November 2009. Ia dianjurkan oleh Majlis Belia Brunei dengan kerjasama Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Negara Brunei Darussalam. Berikut ialah beberapa maklumat ringkas tentang DBIDM:
  • Tema pertemuan ini ialah "Kesempurnaan Akhlak Belia Islam."
  • Pertemuan ini terbahagi kepada dua iaitu Pembentangan Kertas Kerja pada 9 Nov 2009 dan Bengkel pada 10 Nov 2009.
  • Kertas Kerja Perdana akan disampaikan oleh Yang Berhormat Pehin Jawatan Luar Pekerma Raja Dato Seri Utama Dr. Ustaz Haji Awang Md. Zain bin Haji Serudin, Menteri Hal Ehwal Ugama, Negara Brunei Darussalam.
  • 6 pembentangan kertas kerja akan disampaikan pada 9 Nov 2009 iaitu:
  1. Pengiran Haji Bahrom bin Pengiran Bahar, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama
  2. Prof. Madya Dr. Haji Hashim bin Haji Abd. Hamid, Yang DiPertua Majlis Belia Brunei
  3. Shofwan Al-Banna Choiruzzadd, Universitas Indonesia
  4. Datu Rosmadi Datu Sulai, Timbalan Setiausaha Tetap (Belia), Kementerian Belia dan Sukan Negeri Sabah
  5. Prof. Dr. Sidek Baba, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
  6. Suryakencahana bin Omar, Naib Yang DiPertua 4PM Singapura
  • Dialog ini akan dihadiri oleh seramai 400 belia tempatan dan luar negara.
Pihak penganjur akan menyediakan kemudahan domestik iaitu tempat penginapan, makan minum, dan pengangkutan tempatan kepada peserta luar negara. Maklumat lanjut sila hubungi Setiausaha MBB dengan mengemel kepada: beliabrunei@yahoo.com

SEMOGA JUMPA DI BRUNEI.

Jumaat, 20 Mac 2009

Kunjungan Muhibah RISEAP

Setiausaha Kehormat Regional Islamic Da'wah Council of Southeast Asia and The Pacific (RISEAP), Tuan Haji Marzuki Mohd. Omar berserta dua orang staf RISEAP (Encik Shafiq Ong Abdullah dan seorang exsko wanita) telah mengadakan kunjungan dan perbincangan dengan MBB pada 19 Mac 2009. Pertemuan dihadiri oleh YDP, SUAT, BAT, dan SU MBDBM bersama wakil PERTIWI dan WI. Brunei adalah negara ahli RISEAP dan merupakan antara pelopor pertubuhan tersebut. Antara lain yang dibincangkan ialah mengemaskinikan hubungan antara RISEAP dengan ahli-ahli.

Ahad, 15 Mac 2009

Bazaar Amal Majlis Belia Daerah Temburong

Majlis Belia Daerah Temburong telah mengambil inisiatif untuk mengutip derma bagi Tabung GAZA dengan mengadakan Bazaar Amal di Kompleks Perniagaan Bumiputera di Bangar pada 14 dan 15 Mac 2009. Bazaar Amal tersebut dianjurkan bersama dengan Pejabat Daerah Temburong.


Dipetik dari berita akhbar Media Permata:


Majlis Belia Temburong derma untuk Tabung Palestin
Oleh Samin
TEMBURONG, Selasa - Sebagai tanda keprihatinan dan sikap pemedulian sesama kita terutama kepada yang memerlukan Majlis Belia Daerah Temburong telah menyumbangkan derma bagi Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin (Gaza) berjumlah $500 hasil jualan amal yang telah di adakan selama tiga hari di Kompleks Utama Bumiputra, Pekan Bangar baru-baru ini.
Sumbangan itu diserahkan oleh Naib Yang Dipertua Majlis Belia Daerah Temburong, Haji Emran Haji Sabtu kepada Penolong Pegawai Daerah Temburong, Pengiran Amirrizal Pengiran Haji Mahmud dalam satu majlis di Dewan Belalong, Kompleks Dewan Kemasyarakatan Pekan Bangar Daerah Temburong.
Naib Yang DiPertua Majlis Belia Daerah Temburong, Tuan Haji Emran menyerahkan derma kepada Penolong Pegawai Daerah Temburong.

Malam Baca Puisi Astaka Merdeka

Deklamasi Yura Halim cukup mengesankan dan mencabar minda khalayak.

Puisidra "Tanda Arah" persembahan Kumpulan Putra Seni bersama deklamator belia.
Malam Baca Puisi ASTAKA MERDEKA sempena Sambutan Jubli Perak Hari Kebangsaan Brunei telah diadakan di Dewan Songket, The Rizqun International Hotel, pada malam minggu, 14 Mac 2009.
MBB menerusi Kumpulan Putra Seni (KPS), ASTERAWANI, dan wakil belia setiap daerah yang terdiri daripada Fatinusalamah, Huzaimi Hj. Tompel dan Hasrulhaizan Hj. Kahar (Brunei Muara), Abd. Rahim (Tutong), dan Sharifah Juzlizah Wan Julaini (Belait) telah mempersembahkan gabungan puisidra bersama RAKIS UBD dan Kelab Teater UBD.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah YAM Pg. Setia Negara Pg. (Dr.) Hj. Mohd. Yusof bin Pg. Hj. Abd. Rahim atau YURA HALIM.


Lawatan SM Rimba

Majlis Perwakilan Pelajar Sekolah Menengah Rimba telah mengadakan kunjungan kepada Majlis Belia Daerah Brunei Muara (MBDBM) pada petang Sabtu, 14 Mac 2009. Majlis bertempat di Bilik Muafakat, Pusat Belia, Bandar Seri Begawan. Rombongan seramai 33 pelajar dan 4 guru tersebut telah mendengar taklimat daripada Yang Mulia Pg. Nordin bin Pg. Hj. Mahmud, wakil Jabatan Belia dan Sukan juga selaku Setiausaha Agung MBDBM, Yang Mulia Hj. Awg. Mohd. Yusoff bin Hj. Awg. Murni, Naib Yang DiPertua MBDBM, dan Yang Mulia Awg. Zefri Ariff, Setiausaha Agung Tertinggi Majlis Belia Brunei.
Sesi taklimat menyentuh peranan MBB dalam pergerakan belia di tanahair, serantau dan antarabangsa secara khusus dan penglibatan belia Brunei di peringkat kebangsaan, serantau dan antarabangsa secara umum. Para pelajar juga mendapat tips tentang kepimpinan dalam sesi soal jawab.
Turut hadir ialah eksko MBDBM, Cikgu Bakar, Tuan Haji Mahir dan Awg. Zaini Salleh.

Majlis Belia Daerah Tutong anjur Forum Belia


Dipetik dari akhbar Media Permata keluaran Sabtu/Ahad, 14/15 Mac 2009

Oleh Airil

TUTONG, Jumaat - Majlis Belia Daerah Tutong hari ini mengadakan Forum Belia yang dikelolakan bersama oleh Persatuan Belia-belia Bukit Beruang KESUMA dan Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid kampung berkenaan.
Forum yang berlangsung di Masjid Rancangan Perumahan Negara Bukit Beruang dekat sini turut dihadiri pemangku Pegawai Daerah Tutong Haji Muhammad Suffian Haji Bungso.
Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan diikuti dengan acara forum yang dipengerusikan oleh Zefren Mohd Said dari Mahad Islam Brunei manakala ahli panel pula terdiri daripada Haji Anwari Haji Rani dari Pusat Dakwah Islamiah dan Profesor Madya Dr Haji Hashim Haji Abd. Hamid dari Universiti Brunei Darussalam.
Forum tersebut menyentuh mengenai perjuangan Rasulullah semasa hayat Baginda hingga wafat yang harus dijadikan contoh teladan terbaik dalam kehidupan sebagai Khalifah Allah di muka bumi ini.
Selain itu mengingatkan kita agar sentiasa ingat akan perjuangan Rasulullah, memuji Baginda dengan memperbanyakkan selawat, forum juga turut menyentuh mengenai dengan peranan dan tanggungjawab ibu bapa khususnya dalam memberi pendidikan yang sempurna kepada anak-anak.
Turut hadir ialah Ketua Kampung Bukit Beruang, ahli MPK, belia-belia di daerah ini dan penduduk kampung. Forum ini merupakan salah satu lagi aktiviti anjuran Majlis Belia Tutong bersempena dengan sambutan Maulud Nabi Muhammad pada tahun ini.

Rabu, 11 Mac 2009

Sambutan Hari Komenwel

Sambutan Hari Komenwel (The Commonwealth Day Celebrations) dengan tema "The Commonwealth at 60: Serving a New Generation" telah diadakan di Brunei Darussalam pada 8 - 11 Mac 2009. Ia dianjurkan oleh The Commonwealth Youth Programme (CYP), Asia Centre. Ini merupakan kali kedua Brunei menjadi tuan rumah bagi sambutan berkenaan. Kali pertama ialah pada tahun 2001. Antara negara yang menyertai program ini ialah Bangladesh, India, Maldives, Malaysia, Pakistan, Singapura dan Sri Lanka. Sambutan telah diadakan di Cesar Grand Hall, Orchid Garden Hotel, Berakas dan dirasmikan oleh SUT KKBS pada 10 Mac 2009.
Pada sebelah malamnya diadakan Malam Kebudayaan Komenwel yang dipersembahkan oleh setiap negara peserta.

Ahad, 1 Mac 2009

Mesyuarat Agung ASTERAWANI



Angkatan Sasterawan dan Sasterawani (ASTERAWANI) Brunei akan mengadakan mesyuarat agung pada 1 Mac 2009, jam 2.00 petang bertempat di Balai Sarmayuda, Dewan Bahasa dan Pustaka, Brunei.

ASTERAWANI merupakan badan penulis tunggal di Brunei dengan keahlian lebih daripada 100 orang.

Keterangan lanjut tentang ASTERAWANI boleh didapati di:

Jumaat, 27 Februari 2009

Dialog Belia Islam Dunia Melayu

Projek ini akan diadakan pada 20-22 Mac 2009 bertempat di Dewan DiGadong, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Bandar Seri Begawan, Brunei. Sekurang-kurangnya tujuh kertas kerja akan dibentangkan oleh pemakalah dari Brunei, Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand. Kepada yang berminat sila berhubung dengan Setiausaha Agung Tertinggi Majlis Belia Brunei di emel beliabrunei@yahoo.com
Untuk keterangan lanjut sila layari:

TERKINI: DIALOG INI DITUNDA KE BULAN APRIL/MEI 2009

Lawatan Majlis Belia WP Labuan ke MBDTutong

Serombongan 13 belia dari Majlis Belia Wilayah Persekutuan Labuan yang diketuai oleh Sdra. Yahya Hj. Bakri melakukan lawatan balas ke Majlis Belia Daerah Tutong pada 28 Februari hingga 1 Mac 2009. Rombongan tersebut tiba di Muara pada sebelah pagi Sabtu dan bertolak kembali ke Labuan pada petang Ahad.
Sepanjang berada di Brunei, mereka akan menginap di Plaza Halim, Tutong dan akan melakukan lawatan kerja di Pesaka.
Antara jadual yang telah diaturkan bagi rombongan tersebut ialah:
28 Februari 2009
Petang: Taklimat di Pejabat Daerah Tutong oleh Penolong Pegawaiu Daerah, Awg. Hj. Sofian Bungsu
Malam: Majlis makan malam bersama MBDTutong di Restoran Tanda Kasih Kg. Keriam.
1 Mac 2009
Pagi: Menghadiri Majlis Pelancaran Buku Penulis-Penulis Tutong di Dewan Serambangun, Tutong.
Tengah hari: Acara bebas di Bandar Seri Begawan.
Semoga lawatan ini dapat mempereratkan lagi tali silaturrahmi dan hubungan kerjasama belia dalam pelbagai bidang.

PERHIMPUNAN AGUNG SAMBUTAN JUBLI PERAK HARI KEBANGSAAN

23 Februari 2009 adalah sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam yang ke-25 tahun. Sejak pukul 5 pagi lagi, Stadium Negara Hassanal Bolkiah mula dihadiri oleh peserta dan orang ramai. Kontinjen MBB mengenakan pakaian bermotif hitam putih. Bagi lelaki berbaju kemeja putih, berseluar hitam dan bersongkok sementara bagi perempuan berbaju putih, berseluar hitam dan bertudung hitam.
MBB telah diletakkan pada nombor 88 daripada 107 buah pasukan yang menyertai perbarisan lalu. Perbarisan MBB diketuai oleh SUAT MBB, Zefri Ariff. Turut bersama menyertai perbarisan ialah Yang DiPertua MBB, Prof. Madya Dr. Hj. Hashim; Pengerusi Tetap MBB, Hj. Jawawi; Setiausaha Agung MBDBM, Pg. Nordin; Setiausaha Agung MBDTutong, Hj. Sahari; dan Setiausaha Agung MBDTemburong, P. Ramlee.
Berdasarkan daftar kehadiran, seramai 282 ahli MBB telah menyertai perbarisan berkenaan. Ini merupakan penglibatan MBB yang terbanyak dan tersusun dalam acara perbarisan lalu bagi Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam.
Ahli Jawatankuasa Tertinggi MBB ingin merakamkan terima kasih dan syabas di atas kesabaran, penglibatan dan keprihatinan setiap penyelaras peserta MBB bersama anak buah masing-masing bagi kejayaan ini. AJKT MBB juga merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada jurulatih kawad MBB iaitu 11180 Sjn Dullah, 12103 Kpl Hasdinah, dan 14819 Lkpl Zalimi yang dibantu oleh 10796 Sjn Hj. Alit, 13566 Kpl Hj. Johan, dan 14705 Lkpl Asri yang telah membantu menyelaraskan latihan perbarisan bagi MBB. SUAT MBB juga ingin mencatatkan rakaman penghargaan kepada Mustapa Hj. Kassim dan Pg. Nordin yang banyak membantu saya menyelenggarakan projek ini.

Latihan Perhimpunan Agung HK 2009

Bermacam-macam kisah berlaku sepanjang latihan perhimpunan agung HK 2009. MBB pada mulanya menyenaraikan 200 belia menyertai acara perbarisan lalu. MBB menerima respon yang menggalakkan dari majlis belia setiap daerah. Majlis Belia Daerah Tutong menghantar 70 belia; Majlis Belia Daerah Belait menghantar 80 belia; Majlis Belia Daerah Temburong menghantar 25 belia; dan Majlis Belia Daerah Brunei Muara menghantar 150 belia. Akhirnya pada mesyuarat terakhir dengan Urusetia Sanbutan Jubli Perak Hari Kebangsaan pada 12 Februari 2009, MBB memutuskan untuk menghantar seramai 350 belia. Beberapa siri latihan khususnya bagi peserta belia MBDBM telah diadakan di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Kg. Perpindahan Mentiri dan Kg. Katok. Peserta belia dari daerah lain tidak dapat mengadakan latihan kelompok kerana urusetia tidak menyediakan bas dan bekalan makanan. Oleh yang demikian dengan inisiatif ajk MBB, 2 buah van telah digunakan untuk mengangkut peserta ke tempat latihan. Insiden yang tidak dapat dilupakan ialah apabila Belia dari Kg. Bengkurong terpaksa menggunakan van jenazah untuk mengangkut peserta ke lokasi latihan di Kg. Mentiri. Pihak MBB juga hanya dapat menyediakan minuman dan makanan ala kadar kepada para peserta.
Perkara yang paling mencabar ialah apabila urusetia mengumumkan bahawa makan minum dan bas tidak dapat disediakan kepada semua peserta perbarisan. Pada latihan sepadu 16 Februari di Stadium Negara, 2 buah van ajk MBB tekah digunakan untuk mengangkut seramai 50 belia dari Kg. Mentiri. Pada latihan hari tersebut, 2 belia telah mengalami pitam kerana tidak makan dan kepanasan. SUAT MBB telah mengambil keputusan tidak menurunkan kesemua belia untuk latihan pada 18 dan 19 Februari. MBB hanya akan turun ke raptai akhir pada 21 Februari.
Pada 17 Februari, suatu mesyuarat khas diadakan oleh urusetia dengan ketua-ketua pasukan perbarisan. Keputusannya urusetia menyatakan semua peserta perbarisan lalu kecuali yang berdaftar di bawah institusi pendidikan tidak diberikan makan minum tetapi bas pengangkutan peserta akan diusahakan. Tetapi pada malam tersebut, SUAT mendapat panggilan telefon daripada pihak urusetia bersetuju memberikan makan minum kepada semua peserta.
Masalah yang tinggal ialah bas. Untuk latihan sepadu 18 Februari, 2 buah bas telah dihantar untuk MBDTutong iaitu sebuah di Kg. Bukit Beruang dan sebuah kagi di Pejabat MBDTutong; sebuah bas untuk belia Kg. Mentiri sementara belia Kg. Katok diangkut oleh 2 buah van ajk MBB. MBDBelait masih belum mendapat peruntukan bas sementara bagi peserta belia MBDTemburong, meraka diarahkan untuk menggunakan perkhidmatan bas ulang alik dari Tambing Subok ke Stadium Negara. Hanya pada latihan penuh 21 Februari urusetia dapat menyempurnakan bas-bas pengangkutan untuk peserta MBB dari Kg. Mentiri (2 buah), Kg. Bengkurong (sebuah), dan Kg. Katok (sebuah) bagi MBDBM; Kg. Bukit Beruang (2 buah) dan Pejabat MBDTt (sebuah) bagi MBDTutong; dan Perumahan Lorong 3 Seria (2 buah) bagi MBDB.

Upacara Menaikkan Bendera Besar

Bendera besar diarak oleh Angkatan Tentera Laut DiRaja Brunei.
Barisan pemimpin MBB bersama ahli.

Seramai 60 ahli MBB bersama kumpulan belia/pelajar yang lain telah bersama-sama menyaksikan upacara menaikkan bendera besar di Dataran Yayasan SHHB pada 8 Februari 2009. Upacara tersebut menandakan permulaan acara sambutan Jubli Perak Hari Kebangsaan Brunei. Bendera berukuran 24 X 12 kaki tersebut telah diarak oleh 30 orang Angkatan Tentera Laut DiRaja Brunei. Tetamu kehormat di majlis tersebut ialah Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan. Acara pada pagi itu juga turut disaksikan oleh rombongan BAFIN UMS.



Jumaat, 6 Februari 2009

BAFIN UMS DI KUPUSB

MBB telah mendapat kerjasama daripada Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPUSB) untuk menempatkan rombongan lawatan tidak rasmi dari BAFIN UMS di asrama Putera dan rumah persatuan. Rombongan selamat tiba di KUPUSB sejurus selepas maghrib. Selepas isyak rombongan dibawa menjamu selera di Pasar Malam Gadong. Acara tentatif yang diaturkan pada hari Jumaat 6 Februari 2009 ialah lawatan ke Muzium Brunei, Bangunan Alat-Alat Kebesaran DiRaja, Masjid Jame 'Asr Hassanil Bolkiah, The Mall Gadong, Jerudong Park dan makan malam di rumah SUAT MBB. Sementara pada hari Sabtu 7 Februari 2009, di sebelah pagi rombongan akan menyertai senamrobik bersama pegawai dan kakitangan KKBS dan seterusnya mendengar taklimat belia dari Bahagian Belia, Jabatan Belia dan Sukan; di sebelah petang rombongan akan mengadakan muzakarah bersama KUPUSB; dan di sebelah malam rombongan dijamu selera di rumah Ustaz Hj. Mustazan. Pada hari Ahad 8 Februari 2009, sebelum pulang ke Sabah, rombongan akan bersama-sama warga KUPUSB menyertai walkathon KUPUSB yang dijangka bermula pada jam 6.30 pagi.
Semoga silaturrahmi ini dapat mewujudkan ukhwah yang baik dan berpanjangan. Terima kasih kepada Ustaz Haji Abd. Rahim bin Hj. Gantang, Pendaftar KUPUSB, yang banyak memberikan kerjasama penempatan di KUPUSB. Terima kasih juga kepada kerabat MBB Tuan Hj. Jawawi, Pg. Nordin, Tuan Hj. Yusof, Ustaz Hj. Mustazan, dan Ustaz Hj. Noradi serta Dayang Rosita (wakil perhubungan tidak rasmi rombongan BAFIN UMS di Kg. Junjungan) yang berusaha menolong dan memudahkan perjalanan rombongan tersebut ke Brunei.

Isnin, 2 Februari 2009

Lawatan BAFIN UMS

Serombongan Kelab Kewangan dan Perbankan, Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaysia Sabah akan mengadakan lawatan tidak rasmi ke Brunei pada 5 hingga 8 Februari 2009. Rombongan seramai 17 mahasiswa dan 26 mahasiswi juga disertai oleh seorang pensyarah iaitu Puan Zaiton Othman. Menurut Amir Shah Idris, jurucakap program tersebut, lawatan ini akan memberi peluang kepada peserta untuk mengetahui kegiatan belia di Brunei. Rombongan dijangka akan mengadakan lawatan ke Jabatan Belia dan Sukan pada hari Sabtu 7 Februari 2009.

Perbarisan Perhimpunan Agung Hari Kebangsaan NBD 2009

Seperzi lazimnya pada tahun-tahun terdahulu, MBB akan ikut serta dalam acara perbarisan bersempena Perhimpunan Agung Hari Kebangsaan Brunei yang ke-25 tahun pada 23 Februari 2009 bertempat di Stadium Negara Hassanal Bolkiah. Acra yang berlangsung pada pagi tersebut akan menyaksikan seramai 200 belia di bawah payung MBB mengatur barisan yang kemas dan berwibawa.
Sehubungan dengan itu adalah diharapkan setiap Majlis Belia Daerah akan dapat membuat penyelarasan dari segi penglibatan belia dari daerah masing-masing dan memastikan peserta hadir ke beberapa raptai perhimpunan secara bersepadu yang akan bermula pada 18 Februari 2009. Harus diingat MBB memerlukan peserta perbarisan seramai 200 belia.
Pada masa ini latihan kelompok sedang berlangsung bermula pada 30 Januari 2009 bertempat di Stadium Negara Hassanal Bolkiah di bawah pengawasan jurulataih perbarisan Sgt Hj Alit Shahrin, Sgt Dolllah dan Kpl Hasdinah. Latihan kedua telah diadakan pada 1 Februari 2009 bertempat di perkarangan Dewan Kemasyarakatan Perpindahan Kampung Mentiri. Latihan berikut adalah pada:


  • 4 Februari 2009, jam 2.00 petang: Dewan Kemasyarakatan Perpindahan Kg. Mentiri
    6 Februari 2009, jam 8.00 pagi: Stadium Negara Hassanal Bolkiah
    8 Februari 2009, jam 2.30 petang: Stadium Negara Hassanal Bolkiah
    13 Februari 2009, jam 8.00 pagi: Stadium Negara Hassanal Bolkiah
    15 Februari 2009, jam 2.30 petang: Stadium Negara Hassanal Bolkiah


Diharap semua yang terlibat akan komited dengan jadual tersebut. Perhubungan boleh dibuat dengan Setiausaha Agung Majlis Belia Daerah masing-masing.

Rabu, 14 Januari 2009

Perjanjian Persefahaman (MoU)

JKTT MBB difahamkan bahawa Majlis Belia Daerah Brunei Muara (MBDBM) akan menandatangani perjanjian persefahaman dengan Majlis Belia Negeri Sembilan (MBNS) dan Majlis Belia Wilayah Persekutuan Labuan (MBL). Permesyuaratan awal MBDBM dengan MBNS telah diadakan bersama Presiden dan Setiausaha Agung MBNS pada 11 Disember 2008 bertempat di Tradres Inn, Gadong. Manakala rundingan untuk mengadakan perjanjian persefahaman dengan MBL telah diadakan pada 10 Januari 2009 bertempat di Labuan.
Sementara itu Majlis Belia Daerah Tutong (MBDTt) akan mengadakan kunjungan muhibah kepada MBL pada 25-26 Januari 2009; rombongan tersebut akan diketuai oleh Pemangku Naib Yang DiPertua MBDTt, Awang Ahanapi bin Hj Mahadi.
Semoga apa pun yang direncanakan dalam perjanjian persefahaman tersebut akan memberikan banyak manfaat kepada belia dan institusi yang terlibat.

Tahun Baru Hijrah 1430 dan Masehi 2009

Tahun baru berganti lagi. Tipikal sambutan tahun baru ialah kata-kata murni yang mengarah kepada azam baru. Tetapi hakikatnya hidup sentiasa bergerak dan berubah. Begitu juga harapan ditanggung kepada golongan belia yang dikatakan sebagai ejen atau pemangkin perubahan. Belia Brunei harus bergerak dan berubah dari satu tahap semasa kepada satu tahap yang dilabel sebagai cemerlang.
Kepimpinan belia harus mempunyai usaha dan melaksanakan pelbagai program yang boleh diikutsertai oleh golongan belia secara lebih kolektif dan komprehensif. Program-program yang dilaksanakan tersebut perlu penaksiran atau audit agar hasilnya benar-benar boleh "menggerakkan" belia Brunei mencapai pelbagai matlamat kehidupan beragama, berbangsa, dan bernegara.
Golongan belia pula harus membuka ruang dan mengambil peluang untuk "menggerakkan" diri ke tahap yang dikagumi masyarakat. Belia harus mengenal pasti potensi diri dengan kondisi persekitaran. Ramai belia tidak menyedari potensi yang mereka miliki untuk dimanfaatkan kepada pembangunan insan dan pembangunan negara bangsa.
Akhirnya sambutan tahun baru tidak bermakna selagi kita tidak bersedia untuk bergerak dan berubah ke arah kecemerlangan.