Rabu, 14 Januari 2009

Perjanjian Persefahaman (MoU)

JKTT MBB difahamkan bahawa Majlis Belia Daerah Brunei Muara (MBDBM) akan menandatangani perjanjian persefahaman dengan Majlis Belia Negeri Sembilan (MBNS) dan Majlis Belia Wilayah Persekutuan Labuan (MBL). Permesyuaratan awal MBDBM dengan MBNS telah diadakan bersama Presiden dan Setiausaha Agung MBNS pada 11 Disember 2008 bertempat di Tradres Inn, Gadong. Manakala rundingan untuk mengadakan perjanjian persefahaman dengan MBL telah diadakan pada 10 Januari 2009 bertempat di Labuan.
Sementara itu Majlis Belia Daerah Tutong (MBDTt) akan mengadakan kunjungan muhibah kepada MBL pada 25-26 Januari 2009; rombongan tersebut akan diketuai oleh Pemangku Naib Yang DiPertua MBDTt, Awang Ahanapi bin Hj Mahadi.
Semoga apa pun yang direncanakan dalam perjanjian persefahaman tersebut akan memberikan banyak manfaat kepada belia dan institusi yang terlibat.

Tahun Baru Hijrah 1430 dan Masehi 2009

Tahun baru berganti lagi. Tipikal sambutan tahun baru ialah kata-kata murni yang mengarah kepada azam baru. Tetapi hakikatnya hidup sentiasa bergerak dan berubah. Begitu juga harapan ditanggung kepada golongan belia yang dikatakan sebagai ejen atau pemangkin perubahan. Belia Brunei harus bergerak dan berubah dari satu tahap semasa kepada satu tahap yang dilabel sebagai cemerlang.
Kepimpinan belia harus mempunyai usaha dan melaksanakan pelbagai program yang boleh diikutsertai oleh golongan belia secara lebih kolektif dan komprehensif. Program-program yang dilaksanakan tersebut perlu penaksiran atau audit agar hasilnya benar-benar boleh "menggerakkan" belia Brunei mencapai pelbagai matlamat kehidupan beragama, berbangsa, dan bernegara.
Golongan belia pula harus membuka ruang dan mengambil peluang untuk "menggerakkan" diri ke tahap yang dikagumi masyarakat. Belia harus mengenal pasti potensi diri dengan kondisi persekitaran. Ramai belia tidak menyedari potensi yang mereka miliki untuk dimanfaatkan kepada pembangunan insan dan pembangunan negara bangsa.
Akhirnya sambutan tahun baru tidak bermakna selagi kita tidak bersedia untuk bergerak dan berubah ke arah kecemerlangan.